Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan
5 prinsip ini dirangkum menjadi panduan asas yang menyeluruh kepada setiap warganegara. Tidak terlepas walau seorang pun untuk menjunjung tinggi prinsip ini.
Malah semua institusi awam dan swasta, agensi awam dan swasta, badan-badan korporat dan swasta, apa saja, selagi mana ia di tanah ini, prinsip ini harus dijunjung tinggi sebagai seorang warganegara yang taat dan cintakan tanah airnya tanpa mengira kaum dan agama.
Termasuk di dalam prinsip Rukun Negara ini adalah hak bahasa kebangsaan yang perlu terus dipelihara oleh semua yang mengaku sebagai warganegara.
Bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu. Tetapi ramai yang terlupa sejarah tanah air ini yang bermula dengan tulisan jawi. Tulisan jawi merupakan warisan bangsa dan bahasa tanah ini.
Kita pernah belajar ketika di sekolah menengah sejarah kedatanagan Islam ke tanah ini antaranya adalah penemuan batu bersurat di Terengganu. Ini membuktikan tulisan jawi bukan perkara baru di alam Melayu. Ia adalah sebahagian daripada sejarah negara kita dan perlu terus dipelihara.
Tulisan jawi ini pernah menjadi medium perantaraan komunikasi yang utama di tanah air kita. Rujukan-rujukan kembali terhadap sejarah memperlihatkan betapa tulisan ini amat penting dan utama. Akhbar-akhbar Melayu menjadikan tulisan jawi sebagai tulisan utama.
Dan kita lihat hari ini, pihak kerajaan yang selama ini sepi dari memperjuangkan isu tulisan jawi mula memberikan perhatian. Selain itu banyak pihak-pihak lain juga turut mula memberikan tumpuan kepada usaha memelihara dan menghidupkan kembali tulisan jawi warisan negara.
Sebagai wargangera yang bertanggungjawab, sudah pasti kita akan menyambut baik apa saja usaha yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk memelihara dan menghidupkan tulisan ini dari terus pupus ditelan zaman. Seorang pakar dari Korea turut menyatakan kebimbangannya terhadap warisan ini yang bakal pupus dan hilang ditelan arus kemodenan.
Sekali lagi dinyatakan dengan jelas, kita wajib menyokong usaha memelihara dan menghidupkan kembali tulisan jawi ini terutama kepada generasi muda hari ini agar mereka tidak lupa kepada sejarah tanah air yang mereka tinggal di dalamnya. Tidak kira usaha ini dilakukan oleh siapa, kita akan menyokong. Baik dari pihak kerajaan memerintah, kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan persekutuan, jabatan-jabatan kerajaan negeri, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, semua individu bergelar warganegara Malaysia perlu menyokong usaha ini.
Ia adalah satu usaha yang baik, disamping menyemai rasa cinta kepada sejarah tanah air sendiri. Generasi mudah hari ini perlu dibina agar mengenal sejarah dan cintakan sejarah mereka. Walaupun sejarah itu lebih luas dan besar, namun ini adalah sebahagian darinya.
Justeru, sebagai warganegara, saya kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang tidak menunjukkan minat terhadap usaha memlihara warisan negara ini. Tulisan jawi adalah salah satu dari warisan sejarah negara yang kita perlu pelihara dan suburkan kembali.
Pengajaran tulisan jawi dalam sistem persekolahan mungkin boleh dipertimbangkan semula agar generasi anak-anak muda hari ini celik jawi dan menghargai tulisan ini. Walaupun telah ada usaha yang dilakukan sesetengah pihak dengan menjadikan tulisan jawi sebagai tulisan di papan tanda jalan, usaha ini perlu disokong.
Sebab itu saya melihat berita ini sebagai suatu yang amat menyedihkan kerana masih ada mereka yang bergelar warganegara Malaysia, namun gagal untuk menghayati tingginya nilai sejarah yang perlu dipertahankan.
"No to Jawi, say Malacca Chinese schools"
Berita penuh rujuk sini: http://www.malaysiakini.com/news/283034
Ini satu perkara yang tidak patut berlaku. Di mana rasa sayang dan cinta kita terhadap negara ini jika sejarah tanah kita diperlekehkan dan tidak dihargai ? Kita mahukan penjelasan kenapa tidak mahu? Kerana tidak ada salah pun walau sedikit.
Apakah salahnya meletakkan "inscription" di papan tanda sebagai menzahirkan rasa sayang kita kepada khazanah warisan negara ? Kita tidak mahu mempertikaikan taat setia sesiapa pun kepada negara ini, namun tindakan-tindakan yang dilakukan seolah-olah menzahirkan apa yang sebenarnya berlaku.
Sebagai warganegara, marilah kita benar-benar memahami sejarah negara kita. Barulah kita dapat menyatakan dengan kuat dan jelas kecintaan dan taat setia kita kepada negara tercinta setelah kita mampu menilai dan menghargai segala khazanah negara.
Taat setia kepada negara adalah sifat yang dipuji. Cintakan tanah air adalah sifat yang dipuji. Janganlah kita mengambil mudah akan perkara ini. Kita tidak mahu jadi seperti pepatah yang berbunyi "seperti kacang lupakan kulit".
Saya Anak Malaysia.